Search This Blog

Monday, February 28, 2011

UM-Selasa 01.03.2011 - KOTA : Roboh gerai: Ikhlas desak Selangor bayar pampasan

link asal



KOTA

Roboh gerai: Ikhlas desak Selangor bayar pampasan

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendesak kerajaan Selangor membayar pampasan kepada peniaga gerai di Pangsapuri Pandan Perdana 700 di sini yang dirobohkan baru-baru ini.
Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan negeri harus bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu.
Menurutnya, ini kerana peniaga terbabit hanya bergantung kepada perniagaan secara kecil-kecilan mereka itu untuk menampung kos sara hidup harian masing-masing.
"Pampasan itu bertujuan menampung segala kerugian yang terpaksa ditanggung peniaga terbabit," tegasnya ketika ditemui di sini.
Beliau kesal kerana kerajaan negeri tidak memikirkan langsung kesan tindakan mereka itu sedangkan masih ada pendekatan lain yang lebih berhemah boleh diambil.
"Sudahlah kena roboh, peniaga-peniaga dipaksa pula pindah ke tempat baru, dikenakan bayaran sebanyak RM400 dan diminta membina gerai sendiri.
"Saya akan membawa peniaga-peniaga ini untuk membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap tindakan meroboh itu," katanya.
Mohd. Ridzuan menegaskan, pihaknya akan terus membela nasib peniaga-peniaga kecil yang teraniaya.
Beliau juga menyeru kepada semua peniaga khususnya di Selangor supaya bersatu bagi menentang segala bentuk tindakan meroboh yang sering dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, seorang peniaga, G.Moorty, 28, berkata, dia sudah menjalankan perniagaan di situ sejak 13 tahun lalu dan tidak pernah ada masalah.
Kini, katanya, peniaga diminta berpindah ke lokasi berhampiran tangki kumbahan, diarah membayar RM400 dan diminta membina gerai sendiri.
"Mana kami nak cari wang, sudahlah kami kerugian besar akibat gerai dirobohkan, sekarang kena pindah dan bina gerai sendiri," katanya.
Seorang lagi peniaga, Ali Hasyhim, 67, berkata, tindakan MPAJ itu telah menyebabkan dia kehilangan punca pendapatan.
"Mengapa MPAJ harus mengganggu peniaga di sini walhal kami tidak mengganggu sesiapa," katanya.
Dia juga mempersoalkan tempat baru yang diberikan oleh MPAJ kerana tempat tersebut berbau busuk dan sangat tidak menyenangkan.
Selain itu, dia turut kesal dengan wakil rakyat kawasan itu kerana tidak pernah melayan aduan peniaga walaupun sudah beberapa kali aduan dibuat.

No comments:

Post a Comment

My Blog List