Search This Blog

Loading...

Monday, February 28, 2011

UM-Selasa 01.03.2011 - Keluarga Teoh tak hormati Agong

DALAM NEGERI

Keluarga Teoh tak hormati Agong

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Keluarga Teoh Beng Hock jelas tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong kerana memulaukan suruhanjaya yang menyiasat kematian beliau, kata seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan.
Datuk Shaik Daud Ismail hari ini berkata, semua pihak yang terlibat dengan Suruhanjaya Siasatan itu harus mengiktiraf dan menghormatinya kerana ia ditubuhkan dengan titah perintah Seri Paduka Baginda.
"Semua pihak ini harus memberi kepercayaan dan menunjukkan rasa hormat yang sewajarnya. Kita perlu ingat bahawa ia ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong, ia bukannya ditubuhkan oleh Perdana Menteri.
"Memanglah, Perdana Menteri boleh mencadangkan si polan dan si polan dilantik tetapi Yang di-Pertuan Agong boleh menolaknya jika Seri Paduka Baginda mahukan orang lain," katanya kepada Bernama berhubung isu mengenai tindakan keluarga Beng Hock menarik diri daripada siasatan oleh suruhanjaya itu.
Adik perempuan dan abang Beng Hock serta ibu bapa mereka bersama dua peguam keluarga itu bertindak keluar daripada prosiding suruhanjaya itu pada 16 Februari lepas kerana dua permohonan mereka supaya ia ditangguhkan telah ditolak.
Beng Hock , 30, pembantu khas kepada seorang anggota Exco kerajaan negeri, ditemui mati di Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009 selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor yang berpejabat di bangunan itu.
Shaik Daud, yang bersara pada 2001, ketika ditanya sama ada mereka yang tidak menghormati suruhanjaya itu, juga tidak menghormati raja, berkata: "Ya, kita harus menghormati suruhanjaya ini kerana ia dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Biarlah ia jalankan tugasnya." Katanya beliau tidak faham kenapa keluarga Beng Hock mengambil tindakan memboikot itu sedangkan merekalah yang bersungguh-sungguh meminta dan mendesak supaya suruhanjaya itu ditubuhkan tetapi mereka menarik diri padahal suruhanjaya itu belum pun lagi memulakan tugasnya.
Kepada soalan sama ada mereka dan peguam mereka cuba mempolitikkan isu itu, Shaik Daud berkata: "Ketepikan dahulu politik kerana semua orang ingin tahu apa yang terjadi kepada Beng Hock.
"Bukan saja keluarganya, saya yakin seluruh negara ingin tahu apa yang terjadi kepada beliau. Maka, menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu suruhanjaya itu membuat keputusan."
Shaik Daud juga menyentuh mengenai cubaan Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo, kedua-duanya peguam kepada keluarga itu, memohon supaya pengerusi suruhanjaya berkenaan, Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen, menarik diri dengan alasan beliau masih anggota badan kehakiman. James Foong adalah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.
Katanya, tugas suruhanjaya itu tidak akan terjejas jika seorang hakim yang sedang berkhidmat dilantik sebagai pengerusinya.
"Beliau (James Foong) adalah seorang hakim kanan dan seorang yang tegas, jadi sama ada seorang hakim itu sedang berkhidmat atau tidak, tidak ada bezanya.
"Dengan melantik orang seperti Tan Sri James Foong, saya tidak nampak apa bezanya. Tambahan pula, jika ada dua anggota panel itu terdiri bekas hakim, kita akan dapat menentukan akan ada ciri-ciri mengawasi dan menegur," kata Shaik Daud.
Anggota panel itu terdiri bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T. Selventhiranathan; perunding kanan pakar patologi forensik, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan pakar perunding psikiatri Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom.
Shaik Daud berkata adalah terlalu awal bagi keluarga Beng Hock dan peguam mereka untuk menganggap pengerusi suruhanjaya itu bersifat berat sebelah memandangkan prosiding belumpun bermula semasa mereka memboikotnya.
"Biar mereka jalankan tugas dahulu. Jika kita dapati pengerusi berat sebelah, barulah bersuara. Tapi, ini belum lagi bermula, bagaimana kita tahu dia berat sebelah?" katanya.
Mengenai tindakan Karpal Singh, seorang peguam paling kanan di Malaysia untuk menarik diri kerana James Foong adalah seorang hakim yang masih berkhidmat, Shaik Daud melahirkan rasa hairan.
Katanya semasa beliau masih berkhidmat, hakim menghormati Karpal dan tidak pernah menganggap beliau sebagai anggota pembangkang apabila beliau hadir sebagai peguam bela.
"Saya kenal dia sejak 1964 ketika beliau berkhidmat sebagai peguam di Alor Setar dan saya menjadi Presiden Mahkamah Sesyen. Saya dapati beliau seorang yang serius, bijak dan bekerja keras serta tidak membuang masa mahkamah," kata Shaik Daud.
Katanya, beliau bersetuju dengan pendapat bahawa dengan memboikot siasatan itu, yang akan rugi adalah keluarga Beng Hock .
"Mereka mungkin mahu mengemukakan keterangan tetapi sekarang sudah tidak boleh kerana mereka tidak mahu bersama siasatan. Adalah lebih baik jika mereka hadir dan memberitahu hakim selaku pengerusi suruhanjaya itu bahawa mereka ingin memanggil si polan dan si polan untuk mendengar keterangan mereka," katanya.
Shaik Daud berkata bahawa dalam siasatan oleh sesebuah suruhanjaya, sesiapa saja yang mempunyai maklumat mengenai siasatan itu, boleh menawarkan diri menjadi saksi.
Mengenai bantahan keluarga Beng Hock berhubung pelantikan pegawai dari Pejabat Peguam Negara sebagai pegawai pengendali siasatan, beliau berkata pegawai-pegawai ini bukannya dilantik oleh Peguam Negara tetapi oleh Yang di-Pertuan Agong, dan mereka harus patuh titah perintah Seri Paduka Baginda dan bukannya mengikut arahan Peguam Negara dalam kes ini.
Katanya, jika semasa prosiding, anggota keluarga dapat mengesan bahawa pegawai-pegawai ini cuba bertindak berat sebelah, mereka boleh memberitahu suruhanjaya itu, namun akibat daripada tindakan memboikot itu, mereka tidak lagi berpeluang berbuat demikian.
Beliau juga mengingat kembali tugas cemerlang yang dijalankan oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat mengenai kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul semasa dalam tahanan polis pada 1998.
Shaik Daud berkata bahawa hanya selepas suruhanjaya itu ditubuhkan, barulah timbul keterangan baru sehingga terbukti bahawa Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor adalah orang yang memukul Anwar.
Ia memerlukan sebuah suruhanjaya untuk membongkar apa yang sebenarnya berlaku kerana sebelum itu semua pegawai dan kakitangan bawahan Rahim ketika itu takut untuk memberi keterangan, katanya.
"Inilah satu contoh terbaik yang saya dapat berikan mengenai keberkesanan sebuah suruhanjaya siasatan diraja," kata Shaik Daud sambil menjelaskan bahawa rayuan Rahim terhadap hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 kerana memukul adalah kes terakhir yang beliau dengar sebelum bersara. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment

My Blog List