Search This Blog

Monday, February 28, 2011

UM-Selasa 01.03.2011 -Kaji keputusan bawa 45,000 pekerja India

link asal



DALAM NEGERI

Kaji keputusan bawa 45,000 pekerja India

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Kerajaan diminta mengkaji dan memperhalusi semula keputusan membawa masuk 45,000 pekerja dari India bagi tujuan mengisi kekurangan tenaga kerja dalam 13 jenis perniagaan milik persatuan peniaga-peniaga India Malaysia baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat segala keputusan kerana jika dibuat secara terburu-buru, bimbang ia boleh membawa kesusahan kepada rakyat dan negara.
Kata beliau, sepatutnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu meneliti permohonan pengambilan pekerja asing dan bukannya Kementerian Sumber Manusia sahaja.
"Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya membawa masuk seramai mungkin pekerja asing kerana ada kalanya jumlah yang diluluskan tidak memenuhi keperluan sebenar, sebaliknya ia hanya permainan politik pihak tertentu.
"Kalau yang sudah menjadi warganegara Malaysia pun tidak taat kepada negara, apatah lagi dengan membawa masuk seramai ini jelas ia akan menambahkan lagi masalah sosial," katanya kepada Utusan Malaysia menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam mengumumkan kerajaan meluluskan 45,000 pekerja dari India bagi membantu persatuan peniaga-peniaga India Malaysia mengisi kekurangan tenaga kerja.
Permintaan tersebut berikutan pihak pengusaha mendakwa gagal mendapatkan tenaga kerja tempatan kerana keengganan pekerja negara ini untuk bekerja dalam sektor-sektor yang ditawarkan oleh persatuan.
Ibrahim berkata, sebelum ini kerajaan telah membekukan kemasukan pekerja asing, bagaimanapun secara tiba-tiba pula sejumlah 45,000 pekerja asing diluluskan atas dasar kelulusan khas.
"Saya minta kerajaan agar mementingkan keselamatan negara walaupun melibatkan perniagaan. Negara lain tidak semudah Malaysia dalam urusan seperti ini," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak yang kurang senang dengan keputusan kerajaan dan alasan yang diberikan itu berkata, bukan pekerja tempatan enggan bekerja tetapi gaji yang ditawarkan tidak berbaloi.
Jelas beliau, selagi kerajaan tidak menetapkan gaji minimum, maka selagi itu kerajaan tidak boleh menjamin tempat untuk rakyat tempatan bekerja.

No comments:

Post a Comment

My Blog List