Search This Blog

Loading...

Monday, February 28, 2011

UM-Selasa 01.03.2011 - Hairuman dikecuali bayar pinjaman PTPK RM13,632.88

DALAM NEGERI

Hairuman dikecuali bayar pinjaman PTPK RM13,632.88

HAIRUMAN Miskon mendengar kata-kata semangat yang disampaikan oleh kakaknya, Maryuni di Wad Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Feb. - Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mengecualikan pembayaran balik baki tunggakan pinjaman mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon, 22, berjumlah RM13,632.88.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, kementeriannya melalui PTPK sedang berurusan dengan pihak insurans berkaitan dengan pinjaman berkenaan.
"Setiap peminjam PTPK dicarumkan skim insurans perlindungan berkelompok bagi melindungi pinjaman mereka sekiranya peminjam meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal.
"Kita harap dengan bantuan ini, dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarganya," katanya kepada pemberita selepas melawat Hairuman di Wad Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pada lawatan itu, Maznah turut menyampaikan sumbangan RM2,000 yang dikumpulkan oleh kakitangan PTPK kepada Hairuman.
Pada 26 November lalu, Hairuman terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi semasa mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Sungai Tengi Kanan Darat, Tanjong Karang, Selangor.
Akibat kejadian berkenaan, kedua-dua belah tangan serta kaki kiri pemuda berkenaan terpaksa dipotong apabila doktor mendapati anggota tersebut tidak boleh diselamatkan.
Maznah menambah, kementerian bersimpati dengan nasib yang menimpa Hairuman dan berharap sokongan dapat diberikan secara berterusan agar pemuda berkenaan dapat meningkatkan keyakinan diri.
Bagaimanapun, beliau merasa bangga dengan semangat dan kegigihan yang ditunjukkan Hairuman.
"Kita harap dia hanya menumpukan kepada aspek kesihatan diri sahaja dan kementerian akan cuba membantu mencari peluang pekerjaan setelah dia sihat nanti," jelasnya.
Sementara itu, Hairuman yang ditemui berkata, dia bersyukur dengan bantuan yang diberikan Kementerian Sumber Manusia dan PTPK.
"Dengan bantuan yang diberikan, ia dapat meringankan beban saya," katanya.
Dia menambah, kejadian tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi seorang kontraktor elektrik.
Dalam pada itu, kakak Hairuman, Maryuni Miskon, 32, berkata, dia terharu dengan bantuan dan kesudian pihak kementerian melawat adiknya.
"Terima kasih atas segala bantuan yang diberikan dan saya harap dengan bantuan ini dapat dijadikan perangsang kepada Hairuman untuk menjalani kehidupan selepas ini," katanya.
Tambahnya, adiknya itu telah menunjukkan perubahan positif dan keluarganya sentiasa memberikan sokongan moral pada Hairuman.

No comments:

Post a Comment

My Blog List