Search This Blog

Loading...

Tuesday, March 1, 2011

link kepada cerita ini



JENAYAH

Bapa nyaris cedera dilibas parang guru

KUALA KRAI 1 Mac - Akibat membuat aduan kepada sekolah tentang tindakan seorang guru mendenda anak lelakinya makan dalam tong sampah, seorang bapa nyaris cedera dilibas dengan sebilah parang oleh guru berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 petang kelmarin ketika lelaki terbabit, Mohamed Noor Salleh, 56, datang ke sekolah berkenaan di Rancangan Pembangunan Tanah Chuchuh Puteri di sini untuk mengadu tindakan guru itu yang didakwa mendenda anaknya selama dua hari berturut-turut.
Menurutnya, beberapa jam selepas itu, guru berkenaan tiba-tiba menyerangnya dengan parang panjang ketika dia minum di sebuah kedai makan bersama beberapa penduduk kampung.
"Saya pergi ke sekolah untuk bertanya mengenai hukuman guru berkenaan terhadap anak saya dan meminta pihak sekolah memberi penjelasan.
"Bagaimanapun, waktu petang ketika sedang minum, guru itu tiba-tiba datang menyerang saya dengan melibas sebilah parang, mujurlah tidak kena pada saya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohamed Noor, dia terselamat apabila sekumpulan 20 penduduk kampung datang membantu menenangkan guru terbabit yang juga warden asrama sekolah berkenaan.
Dakwanya lagi, insiden tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja apabila guru berkenaan memarahinya ketika mereka bertemu di pagar sekolah kira-kira pukul 6.45 petang hari yang sama ketika dia dan isterinya datang menjemput anak mereka yang tinggal di asrama.
Ketika itu, dakwanya, guru lelaki berkenaan ditemani dua ahli keluarganya yang turut bertindak memarahinya.
Sehari sebelum kejadian itu, isterinya juga dimaki-hamun oleh guru berkenaan apabila datang ke sekolah bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakannya mendenda anak lelaki mereka yang belajar di tahun enam.
"Guru itu mencabar isteri saya supaya berjumpa dengan guru besar dan buat aduan, sebab itulah saya sendiri datang keesokannya untuk membuat aduan.
"Tetapi apabila saya datang ke sekolah, guru itu pula marah dengan tindakan saya dan menyerang saya dengan parang," dakwanya.
Berikutan tindakan guru terbabit, Mohamed Noor membuat satu laporan di balai polis berdekatan kerana bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarganya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Rahim Ab. Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes itu sedang disiasat.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussin Awang berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai kejadian itu dan akan meminta laporan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan

No comments:

Post a Comment

My Blog List