Search This Blog

Loading...

Monday, February 28, 2011

'Zon perang' di Puncak Alam

KOTA

ARKIB : 12/10/2010

'Zon perang' di Puncak Alam



BUKIT berhampiran taman perumahan Puncak Alam Fasa 2, Shah Alam yang sedang dalam proses diletupkan. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ


KUALA SELANGOR 11 Okt. - Kedamaian yang dinikmati penduduk Puncak Alam Fasa 2 di sini bagaikan diragut apabila sebuah syarikat pemaju memulakan kerja-kerja meletupkan bukit berhampiran kawasan itu.
Mereka kini seperti berada di 'zon perang' kerana terpaksa berdepan dengan bunyi letupan kuat diikuti dengan gegaran dari tapak sebuah projek yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan itu.
Penduduk mendakwa, mereka menyedari bukit di kawasan projek itu mula diletupkan sedikit demi sedikit pada bulan puasa lalu.
Selain rasa terganggu, penduduk turut bimbangkan keselamatan mereka terancam serta kemungkinan terdedah kepada pelbagai masalah lain.
Antaranya, kemungkinan berlaku keretakan pada rumah mereka, pencemaran bunyi dan juga masalah batu berterbangan dan habuk yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.
Sekalipun tiada sebarang masalah besar berlaku sejak kerja-kerja letupan itu dijalankan sejak lebih sebulan lalu, namun sudah ada kesan-kesan kecil daripada aktiviti tersebut.
Sehubungan itu, penduduk meminta Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Jabatan Alam Sekitar meninjau lokasi terlibat.
Ini bagi memastikan kerja-kerja pembangunan yang dijalankan pemaju terbabit tidak melanggar syarat-syarat yang ditetapkan.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terlibat tepat pukul 12 tengah hari baru-baru ini iaitu waktu yang didakwa penduduk sebagai waktu puncak kerja-kerja letupan dijalankan, pada awalnya mendapati tiada sebarang letupan berlaku.
Bagaimanapun, tepat pukul 12.15 tengahari, satu letupan kuat kedengaran, diiringi gegaran. Beberapa saat kemudian kelihatan debu berterbangan di kawasan berhampiran, sekali gus mengesahkan dakwaan penduduk.
Utusan Malaysia dimaklumkan, sehingga kini penduduk tidak menerima sebarang notis menyatakan kerja-kerja letupan akan dilakukan di tapak projek berkenaan.
Penduduk juga mendakwa, papan tanda yang menyatakan kerja-kerja letupan sedang dijalankan dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang baru sahaja dipasang.
Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Alam Fasa 2, Ahmad Zawawi Ismail, 63, mengakui ada menerima aduan daripada penduduk mengenai kerja-kerja letupan di tapak projek berkenaan.
Menurutnya, demi keselamatan dan keselesaan penduduk, aduan tersebut akan dikemukakan kepada pihak MDKS untuk tindakan selanjutnya.
Seorang penduduk, Azizan Ahmad, 41, berkata, walaupun sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa, pemantauan harus dilakukan bagi menjamin keselamatan semua pihak terutama penduduk.
Katanya, dia hairan mengapa kerja-kerja meletup itu diluluskan MDKS sedangkan pihak itu tahu ia boleh menjejaskan kualiti hidup penduduk berhampiran.
"Apa yang diharapkan ialah pihak berkuasa dapat melihat perkara ini demi memastikan kehidupan kami di sini tidak terganggu,'' katanya yang menetap di kawasan perumahan berkenaan sejak 2003.
Normah Yusof, 40, pula berkata, kerja-kerja letupan itu sering mengganggu pelanggan di kedai makannya dan bimbang mereka tidak akan datang lagi ke situ.
Dia yang menjalankan perniagaan gerai makan sejak tiga tahun itu berkata, itu adalah pertama kali kejadian seperti berlaku.
Pendapat Normah dipersetujui Habibi Abdul Razak, 52, seorang tukang masak.
Dia yang menjalankan perniagaan kedai makan sejak tahun 2007 mengakui ketiadaan sebarang notis daripada pihak pemaju, menimbulkan tanda tanya.
Sepatutnya, katanya, pemaju terbabit perlu memaklumkan kepada penduduk terlebih dahulu kerana projek itu terletak dekat dengan kawasan penempatan dan ia pasti akan mengganggu orang ramai.
"Apa yang berlaku seolah-olah soal keselamatan penduduk dipandang sebelah mata. Papan tanda kerja-kerja letupan sedang dilakukan juga hanya dipasang selepas hampir sebulan kerja-kerja tersebut dijalankan,'' ujarnya.
Azmi Idris, 40, pula tidak menolak kemungkinan kejadian akuarium ikannya pecah beberapa minggu lalu berpunca daripada gegaran kawasan projek itu.
Dia yang sudah hampir tujuh tahun menetap di situ berkata, pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak lagi kerosakan harta benda terpaksa ditanggung penduduk.
"Jika harta benda mungkin boleh dicari ganti, bagaimana jika ia melibatkan nyawa penduduk,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

My Blog List