Search This Blog

Monday, February 28, 2011

'Mana lampu isyarat kami'

KOTA

ARKIB : 09/12/2009

'Mana lampu isyarat kami'





SHAH ALAM 8 Dis. - Kira-kira 30,000 penduduk Puncak Alam di sini terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan setiap hari apabila simpang tiga yang merupakan jalan masuk utama ke kawasan perumahan itu tidak dilengkapi lampu isyarat.
Mereka mendakwa lampu isyarat berkenaan sepatutnya telah lama dibina di situ kerana simpang tiga tersebut terletak di jalan utama untuk pergi ke Kuala Selangor, Ijok, pekan Meru, Shah Alam dan Perak.
Selain itu kata mereka, sudah banyak kemalangan yang hampir meragut nyawa berlaku di simpang tersebut sehingga membimbangkan penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Alam Fasa 2, Sawawi Ismail memberitahu, mereka tidak mempunyai pilihan selain menggunakan jalan itu untuk ke tempat kerja dan keluar masuk daripada kawasan perumahan tersebut.
Menurutnya, sejak sembilan tahun lalu, simpang itu telah menyebabkan banyak kemalangan dan dalam tempoh sebulan kadang-kala lebih daripada 10 kes dilaporkan berlaku.
"Kemalangan berlaku apabila semua kenderaan dari tiga arah bertembung kerana ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing.
"Apa yang lebih membahayakan nyawa penduduk di sini apabila lampu jalan tidak menyala pada waktu malam menyebabkan mereka sukar untuk melihat kenderaan yang datang dari arah yang berlainan," katanya pada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Lebih membimbangkan penduduk di situ kata Sawawi, jalan itu juga digunakan oleh kenderaan berat seperti lori pasir dan tanah yang menghantar muatan ke tapak pembinaan di dalam kawasan perumahan tersebut.
Sehubungan itu beliau memohon agar pihak berkaitan segera memasang lampu isyarat di persimpangan tersebut bagi mengelak berlaku kejadian kemalangan dan mungkin juga kehilangan nyawa.
Seorang lagi penduduk, Norhayati Abdul Hadi, 42, berkata, lampu isyarat di kawasan itu perlu segera dibina bagi menjamin keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya lain memandangkan banyak berlaku kemalangan sejak kebelakangan ini.
Beliau yang sudah menghuni kawasan perumahan itu selama lima tahun memberitahu, setiap minggu pasti berlaku kemalangan di persimpangan tersebut.
"Lagi pun pembukaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) enam bulan lalu tidak jauh dari simpang ini menambahkan lagi jumlah penduduk di sini kerana kebanyakan daripada mereka menyewa di kawasan perumahan ini.
"Dalam sebulan, ada saja kemalangan berlaku di kawasan ini, biasanya mangsa yang keluar masuk dari simpang di kiri kanan jalan atau membuat pusingan U.
"Disebabkan tiada lampu isyarat, nasib penduduk dan pengguna jalan raya di sini umpama telur di hujung tanduk, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Kamaruzaiki Kamaruddin, 40, berkata, sememangnya lampu isyarat perlu dipasang dengan segera kerana laluan tersebut juga merupakan jalan yang selalu digunakan oleh orang ramai untuk ke Perak bagi mengelak kesesakan sekiranya mengunakan lebuh raya pada musim-musim tertentu.
Katanya, terlalu banyak kenderaan menggunakan laluan itu terutama pada waktu puncak selain setiap kali tiba musim perayaan, kenderaan dipandu laju sehingga sering berlaku kemalangan.
"Persimpangan ini boleh dikategorikan sebagai laluan berbahaya kerana sentiasa sibuk terutamanya pada waktu petang apabila kebanyakan penduduk pulang dari tempat kerja.
"Apa yang menjadi persoalan penduduk di sini bagaimana lampu isyarat boleh dibina terlebih dahulu di simpang masuk UiTM sedangkan universiti itu baru sahaja dibuka," katanya.
Tambahnya, apa yang diharapkan oleh penduduk di situ adalah pembinaan lampu isyarat tersebut dapat disegerakan kerana mereka tidak mahu perkara tidak diingini berlaku kepada ahli keluarga dan juga penduduk di kawasan perumahan itu.

No comments:

Post a Comment

My Blog List