Search This Blog

Loading...

Monday, February 28, 2011

SESAAT UiTM perangi aedes

KAMPUS

ARKIB : 06/12/2010

SESAAT UiTM perangi aedes




Fakulti Farmasi UiTM Puncak Alam dan Ehsan telah bergabung tenaga untuk membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai nyamuk aedes.


Apabila seorang mahasiswa dilaporkan turut menjadi mangsa korban kerana nyamuk aedes, sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Alam telah mengambil inisiatif menganjurkan Program SESAAT: Sentiasa Sihat UiTM bersama persatuan penduduk Bandar Puncak Alam baru-baru ini.
Menyedari isu denggi bukan lagi sekadar isu kesihatan tetapi telah menjadi isu nasional, ahli Environmental Health Student's Association (Ehsan) dan warga Fakulti Farmasi UiTM Puncak Alam telah bergabung tenaga untuk membangkitkan kesedaran mahasiswa dan penduduk Bandar Puncak Alam Fasa 3 bahawa pembiakan nyamuk aedes mampu dikawal melalui penjagaan alam sekitar.
Selain itu, projek SESAAT tersebut adalah salah satu program bagi Projek Kasih Sayang 1Malaysia yang bertujuan mempromosi serta mendidik masyarakat mengenai kehidupan yang sihat melalui pemeriksaan serta pameran kesihatan, kaunseling ubat, dan ceramah kesihatan kepada masyarakat luar bandar.
Presiden Ehsan, Shukri Shuhaimee berkata, penganjuran program SESAAT ini antara lain adalah untuk membangkitkan kesedaran masyarakat tentang isu kesihatan yang selama ini dipandang ringan oleh kebanyakan orang.
“Sebagai pelajar yang bernaung di bawah Fakulti Sains Kesihatan dan Farmasi, kami berasa bertanggungjawab untuk berkongsi pengetahuan yang dimiliki bersama masyarakat untuk mengatasi masalah kesihatan terutamanya mengenai nyamuk aedes dan demam denggi yang kini telah menjadi isu nasional.
“Biarpun perjalanan program ini bermula ketika kami sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk menduduki peperiksaan, namun demi mencari pengalaman bekerja di lapangan masing-masing berusaha gigih bagi memastikan ia berjalan lancar seperti dirancangkan,” katanya.
Menurut Setiausaha Program SESAAT, Noor Amirah Ghafar, walaupun penglibatan pelajar dalam program ini dilakukan secara sukarela, namun masing-masing memberikan komitmen agar dapat berbakti kepada masyarakat.
“Melalui program ini juga, satu kaji selidik mengenai nyamuk aedes telah diadakan dari pintu ke pintu rumah penduduk Bandar Puncak Alam Fasa 3 supaya maklumat yang cuba kami sampaikan diterima setiap penduduk di sana.
“Semasa menjalankan kaji selidik tersebut, pelbagai cabaran yang perlu kami hadapi terutamanya untuk mendapatkan kerjasama daripada tuan rumah itu sendiri. Apabila mereka mengetahui kami hanyalah pelajar, soal selidik tersebut hanya dilakukan secara sambil lewa sahaja,” katanya.
Bagaimanapun menurut Amirah, segala cabaran yang perlu dihadapi sepanjang menjalankan program SESAAT ini dianggap sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai ragam manusia apabila bekerja kelak.
Sementara itu Pensyarah Fakulti Farmasi, Aida Azlina Ali berkata, program sebegini adalah peluang buat mahasiswa dari kedua-dua buah fakulti untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat.
“Program ini juga adalah laluan buat para pelajar untuk mengutip segala pengalaman dan mengaplikasikan apa yang dipelajari di dewan kuliah,” ujar Aida.

No comments:

Post a Comment

My Blog List