Search This Blog

Showing posts with label Masalah Rakyat - KOTA. Show all posts
Showing posts with label Masalah Rakyat - KOTA. Show all posts

Monday, March 21, 2011

Sealsa 22.03.2011 - UM - Penduduk bantah pemaju

link 



Penduduk bantah pemaju

Abd. Kahar Ahmad bersama penduduk Taman Sri Aman menunjukkan kawasan yang hendak dibina jalan oleh sebuah syarikat pemaju di Taman SEA, Petaling Jaya baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. ARIF RAMELI


PETALING JAYA 21 Mac – Penduduk Taman Sri Aman, Taman SEA, di sini membantah tindakan sebuah syarikat pemaju yang ingin membina jalan di kawasan didakwa sebagai milik awam, yang menempatkan taman permainan dan dewan orang ramai.
Menurut mereka, hasrat pemaju tersebut juga secara tidak langsung akan menyusahkan kira-kira 1,500 penduduk setempat yang menjadikan taman permainan dan dewan orang ramai di situ sebagai tempat mereka melakukan aktiviti.
Pengerusi Rukun Tetangga Penduduk Taman Sri Aman, Abd. Kahar Ahmad, 53, berkata, pemaju tidak berhak melakukan sebarang pembangunan di situ kerana tanah tersebut merupakan tanah milik awam yang telah diwartakan.
Katanya, walaupun pemaju mengemukakan alasan tindakan membina jalan di kawasan tersebut setelah mendapat perintah mahkamah, namun penduduk melihatnya sebagai tidak berasas sama sekali.
Ujarnya, lebih menyakitkan hati penduduk, tindakan yang ingin dilakukan pihak pemaju itu turut mendapat sokongan kuat daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut.
“Sepatutnya, mereka ini menyokong dan membantu penduduk, bukannya memberi sokongan untuk membina jalan di kawasan itu.
“Apabila diminta untuk mencantikkan kawasan taman permainan ini, mahupun dewan orang ramai untuk kemudahan semua penduduk, ia tidak diendahkan. Apabila pemaju ingin membina jalan, mereka ini menyokong pula,” katanya.
Katanya lagi, dewan dan taman permainan tersebut telah diusahakan sejak tahun 1995 lagi, tetapi kini tiba-tiba pemaju hendak membina jalan di situ.
Seorang lagi penduduk, Zairi Mohamad, 22, berkata, dia juga membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk membina jalan di kawasan tersebut.
Katanya, dewan orang ramai dan taman permainan itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk dan adalah tidak wajar ia hendak digantikan dengan sebatang jalan.
Dia mendakwa, tanah itu hendak diambil untuk dibina jalan bagi kegunaan penduduk kondominium berhampiran yang baru disiapkan.
“Kami berharap Ahli Parlimen dan ADUN kawasan ini membantu kami, bukannya menyokong pihak pemaju. Mereka harus berdiri di belakang rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada mereka, bukan menindas rakyat,” tegasnya.

Monday, February 28, 2011

UM-Selasa 08/02/2011 - PUNCAK ALAM : Susur keluar ke Puncak Alam bakal atasi kesesakan

link asal



ARKIB : 08/02/2011

Susur keluar ke Puncak Alam bakal atasi kesesakan

SHAH ALAM 7 Feb. - Para pengguna jalan raya yang ingin ke Puncak Alam kini boleh menarik nafas lega apabila satu susur keluar bernilai RM4 juta menghubungkan terus Lebuh Raya Guthrie ke Jalan Batu Arang bakal dibuka penghujung Februari ini.
Susur keluar sepanjang satu kilometer itu bakal menjadi laluan alternatif bagi mengelak kesesakan di Jalan Bukit Jelutong menuju ke Jalan Batu Arang.
Pengurus Besar Prolintas Expressway Sdn. Bhd, Ir. Yang Sapuan Hasim berkata, susur keluar itu adalah penambahbaikan terhadap lebuh raya berkenaan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi pengguna sejak tiga tahun lalu.
Menurut beliau, susur keluar itu bakal menjimatkan masa perjalanan kira-kira 30 minit pada waktu puncak berbanding sebelum ini.
"Dulu jika pengguna ingin mengelak kesesakan di Jalan Bukit Jelutong mereka akan memasuki Plaza Tol Bukit Jelutong dan perlu membuat pusingan di persimpangan Bukit Subang kemudian memasuki Jalan Batu Arang untuk ke Puncak Alam dengan jarak perjalanan dianggarkan enam kilometer.
"Kini setelah susur keluar itu dibuka, pengguna hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk sampai ke susur keluar Jalan Batu Arang melalui Plaza Tol Bukit Jelutong," katanya baru-baru ini.
Yang Sapuan berharap pembukaan susur keluar itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sekali gus menyelesaikan beberapa aduan para pengguna yang pernah disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan.
"Kita berharap pembukaan susur keluar itu dapat memuaskan hati semua pihak terutama mereka yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari," katanya.

UM-Isnin 28.02.2011 - KOTA : Penduduk Pangsapuri Astana Alam 2 lega Syabas tukar meter

link asal



KOTA

ARKIB : 28/02/2011

Penduduk Pangsapuri Astana Alam 2 lega Syabas tukar meter

HALIM Ishak (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk pada majlis pertukaran meter pukal kepada meter individu di Pangsapuri Astana Alam 2, Kuala Selangor semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI


KUALA SELANGOR 27 Feb. - Seramai 517 penghuni Pangsapuri Astana Alam 2 hari ini lega selepas permohonan mereka untuk menukar meter air pukal kepada meter individu pada November tahun lalu diterima pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
Penolong Pengurus Besar Syabas Wilayah Kuala Selangor, Halim Ishak berkata, syarikatnya menerima permohonan penghuni pangsapuri untuk menyertai program migrasi itu selepas mengambil kira masalah yang dihadapi pengguna yang menggunakan sistem bil secara pukal.
"Antara masalah utama adalah pengguna terpaksa menanggung risiko bekalan air dipotong jika pihak pengurusan tidak menjelaskan bil bulanan kepada Syabas walaupun penghuni telah membuat pembayaran mereka kepada pihak pengurusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis bersama penduduk Pangsapuri Astana Alam 2 di sini hari ini.
Sementara itu, Halim memberitahu, mereka yang menyertai program tersebut akan menikmati kadar bekalan air yang lebih murah berbanding sebelumnya.
Ini kerana, katanya, kadar bayaran yang dikenakan untuk pengguna individu adalah lebih murah berbanding secara pukal yang biasanya diterima oleh perumahan bertingkat.
"Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban penghuni yang sebelum ini dikenakan kadar bayaran yang lebih mahal," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Astana Alam 2, Azmi Razak berkata, pihaknya bersyukur dan gembira kerana pihak Syabas menerima permohonan penduduk untuk menukar meter pukal kepada meter individu.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Syabas yang memberi komitmen yang baik serta telah memberikan perkhidmatan yang baik kepada kami," katanya.
Seorang lagi penduduk, Asiah Kamaruddin berkata, dia gembira dengan perlaksanaan bil secara individu ini kerana kadar bayarannya yang lebih murah.
"Sebelum ini, kadar bayaran bulanan untuk kegunaan air mahal dan kadang-kadang ada juga masa yang saya tidak mampu untuk membayarnya," jelas ibu tunggal kepada tujuh anak itu.

UM-Selasa 01.03.2011 - KOTA : Roboh gerai: Ikhlas desak Selangor bayar pampasan

link asal



KOTA

Roboh gerai: Ikhlas desak Selangor bayar pampasan

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendesak kerajaan Selangor membayar pampasan kepada peniaga gerai di Pangsapuri Pandan Perdana 700 di sini yang dirobohkan baru-baru ini.
Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan negeri harus bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu.
Menurutnya, ini kerana peniaga terbabit hanya bergantung kepada perniagaan secara kecil-kecilan mereka itu untuk menampung kos sara hidup harian masing-masing.
"Pampasan itu bertujuan menampung segala kerugian yang terpaksa ditanggung peniaga terbabit," tegasnya ketika ditemui di sini.
Beliau kesal kerana kerajaan negeri tidak memikirkan langsung kesan tindakan mereka itu sedangkan masih ada pendekatan lain yang lebih berhemah boleh diambil.
"Sudahlah kena roboh, peniaga-peniaga dipaksa pula pindah ke tempat baru, dikenakan bayaran sebanyak RM400 dan diminta membina gerai sendiri.
"Saya akan membawa peniaga-peniaga ini untuk membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap tindakan meroboh itu," katanya.
Mohd. Ridzuan menegaskan, pihaknya akan terus membela nasib peniaga-peniaga kecil yang teraniaya.
Beliau juga menyeru kepada semua peniaga khususnya di Selangor supaya bersatu bagi menentang segala bentuk tindakan meroboh yang sering dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, seorang peniaga, G.Moorty, 28, berkata, dia sudah menjalankan perniagaan di situ sejak 13 tahun lalu dan tidak pernah ada masalah.
Kini, katanya, peniaga diminta berpindah ke lokasi berhampiran tangki kumbahan, diarah membayar RM400 dan diminta membina gerai sendiri.
"Mana kami nak cari wang, sudahlah kami kerugian besar akibat gerai dirobohkan, sekarang kena pindah dan bina gerai sendiri," katanya.
Seorang lagi peniaga, Ali Hasyhim, 67, berkata, tindakan MPAJ itu telah menyebabkan dia kehilangan punca pendapatan.
"Mengapa MPAJ harus mengganggu peniaga di sini walhal kami tidak mengganggu sesiapa," katanya.
Dia juga mempersoalkan tempat baru yang diberikan oleh MPAJ kerana tempat tersebut berbau busuk dan sangat tidak menyenangkan.
Selain itu, dia turut kesal dengan wakil rakyat kawasan itu kerana tidak pernah melayan aduan peniaga walaupun sudah beberapa kali aduan dibuat.

UM-Selasa 01.03.2011 - KOTA : Rimas gangguan warga Afrika

link asal




KOTA

Rimas gangguan warga Afrika



SUBAHAN Kamal membantu mengutip sampah semasa bergotong-royong bersama penduduk Apartmen Enggang, Batu Caves, kelmarin.


SELAYANG 28 Feb. - Kehadiran semakin ramai warga Afrika yang menyewa rumah di sini merimaskan penduduk kawasan itu berikutan terdapat di kalangan mereka yang berkelakuan tidak senonoh termasuk mengganggu wanita tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal berkata, walaupun keadaan masih terkawal tetapi pihaknya berharap pemantauan awal akan dilakukan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa terutama polis dan Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan khususnya memastikan mereka masuk ke negara ini secara sah.
"Kita tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak elok kepada penduduk tempatan berikutan kehadiran ramai warga asing berkenaan di sini," katanya selepas program gotong-royong di pekarangan Apartmen Enggang, Batu Caves dekat sini semalam.
Turut hadir, Ketua Masyarakat Apartmen Enggang, Mustaffah Karim dan Penyelaras Kanan Kemas Parlimen Selayang, Rohayah Yahya.
Sementara itu, Subahan berkata, aktiviti gotong-royong bukan sahaja dapat menjaga kebersihan sesebuah kawasan, malah mengeratkan perpaduan antara kaum serta membolehkan penduduk berkongsi tanggungjawab.
Menurutnya, kempen kesihatan dan kebersihan perlu dilaksanakan oleh penduduk secara berterusan bagi mengelakkan persekitaran yang tidak selesa dan bebas daripada kes denggi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, cadangan beliau supaya bangunan pasar borong lama di Selayang dimajukan sebagai stesen transit aliran ringan (LRT) telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
"Pasar borong lama di Selayang boleh dirobohkan kerana sudah ada pasar borong baru dan masalah sosial seperti jenayah yang sering berlaku di kawasan itu yang melibatkan peniaga asing dapat dikurangkan," ujarnya.

My Blog List