Search This Blog

Showing posts with label Dunia Islam-Pencapaian. Show all posts
Showing posts with label Dunia Islam-Pencapaian. Show all posts

Monday, February 28, 2011

UM-Selasa 01.03.2011 - Abu Kassim individu keempat paling berpengaruh dunia etika perniagaan

link asal





DALAM NEGERI

Abu Kassim individu keempat paling berpengaruh dunia etika perniagaan

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed disenaraikan sebagai individu keempat daripada 100 orang paling berpengaruh dalam dunia etika perniagaan sepanjang tahun lalu.
Portal berita Ethisphere yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS) pada 31 Januari lalu, menyenaraikan 100 individu paling berpengaruh di seluruh dunia berdasarkan penilaian lapan kategori.
Abu Kassim diletakkan sebagai individu keempat paling berpengaruh bagi kategori kerajaan dan amalan peraturan kerana usaha beliau memerangi rasuah bersama negara jiran di Asia Tenggara.
Tujuh lagi kategori ialah kepimpinan pemikir; kepimpinan perniagaan; budaya korporat; pelaburan dan penyelidikan; reka bentuk dan kemampanan; media dan pemberi maklumat; NGO; dan sifat dermawan.
Dalam senarai yang dikeluarkan Ethisphere untuk tahun 2010, dua ahli Parlimen di United Kingdom (UK), Lord Willy Bach dari UK House of Lords dan bekas Setiausaha Kementerian Luar, Jack Straw, berkongsi tempat pertama atas usaha mereka memperkenalkan Akta Pencegahan Rasuah di negara itu.
Tempat ketiga penyenaraian itu menjadi milik Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS, Jon Leibowitz bagi kategori kerajaan dan amalan peraturan.
Menurut laporan portal itu, walaupun ramai daripada yang tersenarai itu wajar diberikan anugerah pencapaian sepanjang hayat, senarai 2010 mengiktiraf mereka yang telah memberikan impak penting khususnya sepanjang tahun tersebut.
"Sesetengahnya orang terkenal di dunia dan ada yang tidak dikenali, tetapi daripada segi reka cipta pakej mapan untuk mendapatkan semula berbilion-bilion dollar daripada penipuan, 100 individu berikut telah memberikan impak dalam dunia etika perniagaan dalam cara yang akan terus memberikan kesan untuk tahun-tahun akan datang," menurut laporan Ethisphere.
Bilionair dan juga dermawan AS, Bill Gates pula hanya sekadar berada pada kedudukan ke-16 manakala pewaris takhta Britain, Putera Charles yang baru-baru ini mengeluarkan dokumentari Harmony: A New Way of Looking at our World menduduki tempat ke-92 bagi kategori kepimpinan alam sekitar.

UM-Selasa 01.03.2011 - Masjid Cina tarik pelancong

DALAM NEGERI

Masjid Cina tarik pelancong




ROSMAH Mansor (tengah) bersama pemenang dan peserta pada Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Kepada Pemenang Peraduan Merekabentuk Masjid Macma & Kompleks Kebudayaan Islam di Menara 1, DBKL, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR 28 Feb. – Masjid Cina Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang bakal didirikan di Jalan Davis di sini, berpotensi menarik perhatian ramai pelancong dari luar negara.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana masjid tersebut mempunyai elemen-elemen kesenian yang unik melalui seni bina Cina.
Tambahan, katanya, Kompleks Kebudayaan Islam yang bakal didirikan bersama-sama dengan masjid itu turut diaplikasi dengan idea-idea segar, khususnya melalui penceritaan dan penerangan sejarah Islam terdahulu iaitu bermulanya zaman pengembaraan Laksamana Muhammad Zheng Ho ke Nusantara.
‘‘Saya percaya dengan lokasi masjid yang amat strategik itu, ia mampu menarik pelancong khususnya mereka yang bukan beragama Islam untuk melihat masjid dan sekali gus mengenali negara ini dengan lebih dekat.
‘‘Bagi sesetengah umat Islam, daya tarikan ini kelihatan seperti biasa, namun bagi masyarakat lain itu adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam.
“Oleh itu, adalah wajar umat Islam mengambil peluang ini untuk memperluaskan pengetahuan mengenai Islam dan seni melalui pelancongan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sijil dan anugerah kepada pemenang Peraduan Merekabentuk Masjid Macma dan kompleks kebudayaan Islam di sini hari ini.
Hadir pada majlis itu, Presiden Macma, Datuk Mustapha Ma; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusup; Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Nafesah Raja Nong Chik Abidin.
Rosmah berkata, setakat ini masjid yang dilihat berpotensi menarik pelancong adalah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Putra Putrajaya.
Selain itu, katanya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah, Masjid Kristal Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kampung Laut Kelantan dan Masjid Ulu Melaka.
‘‘Justeru, saya berharap apabila Masjid Cina ini siap dibina kelak, ia akan menjadi pilihan utama para pelancong dan menjadi mercu kepada keunikan dan kesejagatan Islam di seluruh dunia,’’ kata beliau.
Rosmah berkata, dengan terbinanya Masjid Cina dan kompleks itu, ia membuktikan bahawa Islam bukan hanya milik sesuatu kaum sahaja, malah ia untuk semua keturunan dan seluruh manusia.
Peraduan Merekabentuk Masjid Cina dan Kompleks Kebudayaan Islam yang merupakan inisiatif Macma dan anjuran PAM itu dilancarkan pada Ogos tahun lepas.
Peraduan berkenaan membuka penyertaan khusus kepada semua syarikat-syarikat arkitek di bawah PAM serta menawarkan hadiah wang tunai RM90,000 kepada pemenang utama.
Sebanyak 53 syarikat seluruh Malaysia telah menghantar permohonan tetapi pada hari ini, juri sebulat suara memutuskan bahawa tiada pemenang utama.
Sebaliknya dua peserta terbaik dipilih bagi memenangi wang RM30,000 sebagai anugerah pereka terbaik.
Masing-masing yang menerima anugerah itu ialah Ar. Ang Wen Hsia & Ar. Ang Boo Chung dan Zon Design Rekabina Sdn. Bhd.

My Blog List