Search This Blog

Monday, March 21, 2011

Kes Pencerobohan tanah Suku Temuan, Mukim Tanjung 12, Kuala Langat


















ARKIB : 19/03/2011

Jangan ceroboh hak kami - Batin Malam



DEWI Malam menunjukkan peta kawasan Orang Asli yang dipercayai diceroboh di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor.


KUALA LANGAT 18 Mac - Batin Malam Gerchang sudah semakin tua dengan pinggangnya kerap sakit tetapi kesakitan itu semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.
Ini apabila melihatkan tindak-tanduk Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang semakin tidak mengendahkan kedudukan Orang Asli di Mukim Tanjung 12 dekat sini.
Batin Malam, 77, berkata, tanah simpanan Orang Asli yang masih kekal itu sebenarnya adalah hasil peninggalan nenek moyang mereka yang dahulu diketuai oleh Batin Pelangi.
"Tanah tersebut dikurniakan oleh Almarhum Sultan Sir Abdul Samad iaitu Sultan Selangor keempat kepada kaum Temuan.
"Baginda telah mengurniakan sebilah keris, golok dan tombak kepada Batin bagi menjaga dan mempertahankan tanah-tanah Orang Asli sekiranya berlaku kekacauan atau pencerobohan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Batin Malam berkata, sebenarnya Orang Asli bukan mahu membolot semua tanah tersebut sebaliknya hanya ingin berkongsi hasil mahsulnya untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat pribumi itu.
"Mana tanah yang sudah diletakkan di bawah rezab Melayu biarlah ia kekal begitu kerana mereka juga adalah masyarakat pribumi tetapi baki tanah yang masih ada di sini sepatutnya diserahkan kembali kepada Orang Asli.
Beliau yang kesal dengan sikap tamak segelintir pihak berkata, sekiranya apa yang diluahkan oleh masyarakat Orang Asli itu tidak diendahkan, lebih baik berlaku 'gempa bumi' di Mukim Tanjung 12.
"Tengok apa yang berlaku di Jepun, bila gempa bumi semuanya hancur. Samalah di sini kalau sudah hancur, saya hendak tengok pihak yang tamak itu, apa yang mereka dapat.
"Kami tidak pernah kacau hak orang lain, tetapi mengapa hak kami hendak diceroboh," katanya.





ARKIB : 19/03/2011

Kerajaan PKR Selangor tamak, degil

KOMENTAR
DAHULU pemimpin PKR berkata, mereka akan berjuang untuk hak-hak Orang Asli. Kini, skrip sudah berubah.
Isu kegiatan mengorek pasir secara besar-besaran di tanah milik Orang Asli Temuan di Mukim Tanjung 12 dekat Paya Indah Wetland yang didedahkan Utusan Malaysia hari ini menjelaskan sikap tamak dan degil kerajaan PKR.
Bukankah kegiatan rakus itu telah didedahkan media massa tahun lalu tetapi teguran bagaikan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Masalah perlombongan pasir di Kuala Langat sepatutnya telah dapat ditangani tetapi semakin rakus pula syarikat kerajaan Selangor mengoreknya.
Pihak yang menjadi mangsa keadaan ini ialah rakyat terutama penduduk Orang Asli kawasan berkenaan. Sudahlah tanah mereka diceroboh oleh syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor, hasil mahsul bumi itu pula langsung tidak diberi walau sedikit kepada penduduk terbabit.
Nampaknya operasi melombong pasir di tanah warisan itu satu-satunya cara mudah pentadbiran Abdul Khalid Ibrahim untuk meningkatkan hasil kerajaannya dengan berlipat kali ganda. Pasir kini menjadi sumber wang bagi suku-sakat pemimpin pembangkang Selangor.
Tindakan ini menunjukkan kerajaan PKR Selangor lebih mendahulukan orang di sekelilingnya sahaja. Mereka tidak pandai menyelesaikan masalah. Sebaliknya amat cekap kalau mahu mempolitikkan sesuatu isu.
Elok ditanya kepada Khalid, apa sumbangan besar kerajaan negeri pimpinannya kepada rakyat Selangor sehingga hari ini?
Hakikatnya Kerajaan Negeri Selangor sejak diperintah PKR bukan sahaja tidak mampu mentadbir negeri, malah menambah burukkan keadaan dengan tindakan-tindakan yang mengelirukan rakyat dan gagal pula mengurus ekonomi negeri dengan baik.








ARKIB : 19/03/2011

Kerajaan PKR Selangor ‘punggah’ hasil Orang Asli



ANTARA kawasan tanah Orang Asli yang didakwa diceroboh pihak tertentu dengan menjalankan operasi perlombongan pasir besar-besaran di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor. – Utusan/Rasmi Abdullah



KUALA LANGAT 18 Mac – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang sebelum ini melaung-laungkan mahu membela hak dan nasib Orang Asli ternyata hanya bermain ‘wayang kulit’.
Ini kerana mereka kini didakwa sedang ‘memunggah’ hasil milik Orang Asli di kawasan seluas 7,243 hektar di Mukim Tanjung 12 dekat sini dengan sebahagian besarnya terletak dalam tanah Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Mukim Tanjung 12 membabitkan tujuh buah kampung yang diwartakan dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.
Tanah tersebut merupakan tanah warisan, tanah adat dan tanah rayau kepada kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Temuan sejak ratusan tahun lalu dan telah diwartakan sebagai tanah simpanan Sakai sejak 1927.
Ia juga menjadi rebutan pelbagai syarikat kerajaan negeri dan ada antaranya didakwa diserahkan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan masyarakat Orang Asli. Ini termasuk bekas lombong Petaling Tin Bhd. yang dikatakan sudah diberi milik kepada sebuah syarikat kerajaan negeri tetapi telah dijual pula kepada pihak ketiga.
Dipercayai Mukim Tanjung 12 adalah satu-satunya kawasan segi tiga berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya yang begitu kaya dengan hasil galian termasuk logam berharga sehingga menyebabkan ia menjadi rebutan pelbagai pihak.
Bagaimanapun, tindakan membelakangkan hak Orang Asli telah menyebabkan masyarakat tersebut tidak boleh bersabar, apatah lagi menyedari latar belakang kawasan tersebut adalah penempatan utama suku Temuan di negara ini.
Sedangkan menurut mereka, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO) pada 25 Januari tahun lalu telah mengeluarkan pengesahan bahawa Mukim Tanjung 12 adalah kawasan Orang Asli berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 November 1965.












Selasa 22.03.2011

sumber : UM


MB cabar bawa ke mahkamah

SHAH ALAM 21 Mac – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Suku Temuan di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat supaya membawa ke mahkamah sekiranya yakin tanah yang didakwa diceroboh untuk perlombongan pasir adalah milik mereka.

Beliau berkata, penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan boleh berbuat demikian sebagai salah satu cara untuk memastikan mereka memiliki tanah berkenaan atau sebaliknya.

Abdul Khalid juga turut meminta Orang Asli terbabit membuat semakan di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat bagi mengenal pasti status hak milik tanah mereka yang didakwa melibatkan keluasan 7,243 hektar di Mukim Tanjung 12 dengan sebahagian besarnya terletak dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Pada masa sama beliau menyatakan, kerajaan negeri juga sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi untuk meneliti dan membuat semakan status pemilikan tanah di kawasan berkenaan.

‘‘Saya difahamkan tanah berkenaan (perlombongan pasir) telah diwartakan di bawah pemilikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) lebih 10 tahun lalu.
‘‘Namun, mereka (Orang Asli) boleh membuat semakan di PTD Kuala Langat atau merujuk kepada Exco berkenaan. 

Kalau ada pertikaian, bawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Jabatan-jabatan Teknikal Negeri Selangor di sini, hari ini.

Abdul Khalid mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia pada 18 Mac lalu yang menyatakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didakwa ‘memunggah’ hasil milik Orang Asli di kawasan seluas 7,243 hektar di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat.

Mukim Tanjung 12 membabitkan tujuh buah kampung yang diwartakan dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.

Tanah tersebut merupakan tanah warisan, tanah adat dan tanah rayau kepada kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Temuan sejak ratusan tahun lalu dan telah diwartakan sebagai tanah simpanan Sakai sejak 1927 selain merupakan kawasan penempatan utama suku Temuan di negara ini.

Difahamkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 25 Januari tahun lalu telah mengeluarkan pengesahan bahawa Mukim Tanjung 12 adalah kawasan Orang Asli berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 November 1965



Rabu 23.03.2011


Khamis 24.03.2011

Jumaat 25.03.2011




OTHERS


ARKIB : 30/09/2010

26 keluarga suku Temuan perolehi pampasan RM6.5j

30/09/2010 6:01pm

SHAH ALAM 30 Sept. – Sebanyak 26 keluarga Orang Asli daripada suku Temuan yang memperoleh pampasan RM6.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tanah adat yang diambil bagi membina sebuah lebuh raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini menerima bahagian masing-masing dalam satu prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jumlah tersebut dibahagikan mengikut keluasan tanah dengan masing-masing menerima wang tunai antara RM40,000 dan RM496,000.
Sebanyak RM5.9 juta daripada pampasan itu dilaburkan ke dalam akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) keluarga tersebut, manakala bakinya diberikan kepada dua tabung amanah, pembinaan balai adat dan pembayaran sagu hati tapak rumah. – Utusan






ARKIB : 27/05/2010

Hak Orang Asli diiktiraf



Sagong Tasi (kiri) mengatakan sesuatu kepada Isam Bisnin (kanan) ketika melihat lakaran peta mengenai tanah adat mereka yang diambil untuk projek Lebuhraya Nilai-Banting selepas berjaya memperoleh pampasan RM6.5 juta daripada LLM di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 26 Mei – Pertikaian selama 15 tahun berhubung pengambilalihan tanah adat yang diduduki oleh 26 keluarga Orang Asli untuk pembinaan projek Lebuhraya Nilai-Banting berakhir hari ini apabila Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersetuju membayar pampasan sebanyak RM6.5 juta kepada mereka.
Persetujuan pembayaran dalam kes bersejarah itu direkodkan oleh Mahkamah Persekutuan, sekali gus mengiktiraf hak Orang Asli suku Temuan tersebut terhadap tanah yang diduduki mereka secara turun-temurun sejak lebih 200 tahun lalu di Bukit Tampoi, Dengkil, dekat sini.
Tanah seluas 15.57 hektar itu diambilalih oleh kerajaan negeri Selangor, LLM, United Engineers (M) Bhd. (UEM) dan kerajaan Persekutuan pada 1995 untuk projek lebuh raya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Penyelesaian hari ini direkodkan oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria setelah kesemua pihak terbabit mencapai kata sepakat dengan terma-terma persetujuan yang dikemukakan.
Beliau bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Datuk Seri James Foong.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said yang mewakili kerajaan Persekutuan membacakan kepada mahkamah terma-terma persetujuan penuh dan muktamad yang direkodkan iaitu:

  • Perayu-perayu menarik balik rayuan-rayuan mereka tanpa sebarang perintah berkenaan kos di mana-mana peringkat mahkamah.



  • LLM bersetuju untuk membayar wang sebanyak RM6.5 juta sebagai penyelesaian akhir dan sepenuhnya di dalam kes tersebut.



  • LLM membayar RM6.5 juta tersebut dalam masa sebulan dari tarikh hari ini ke Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai penyelesaian akhir dan sepenuhnya kepada responden-responden (dan mana-mana individu suku Temuan yang menetap di Bukit Tampoi yang tanah mereka juga telah diambil oleh pihak berkuasa untuk tujuan pembinaan Lebuhraya Nilai-Banting) selaras dengan arahan selanjutnya oleh Mahkamah Tinggi tersebut.



  • Responden-responden dan kesemua individu lain yang mempunyai kepentingan terhadap wang RM6.5 juta itu dibenarkan memohon kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi pengagihan bayaran kepada mereka.


  • Dalam kes ini, pihak responden merupakan tujuh Orang Asli iaitu Sagong Tasi, 79; Kachut Tunchit Penjak, 42; Dabat anak Chabat, 76; Kepal anak Kepong, 66; Sani Saken, 39; Ilas Senin, 44, dan seorang Tok Batin, Tukas anak Siam, 56.
    Perayu-perayu pula terdiri daripada LLM, UEM dan kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri Selangor yang turut disenaraikan sebagai defendan dalam saman asal yang difailkan pada April 1996 telah menarik balik rayuannya pada 22 April 2009.
    Pada prosiding hari ini, Kamaludin dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Saiful Edris Zainuddin; Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datin Paduka Zauyah Be Loth Khan mewakili kerajaan negeri Selangor manakala UEM diwakili oleh peguam Harjinder Kaur.
    Kesemua responden diwakili oleh barisan lima peguam yang diketuai oleh Datuk Dr. Cyrus Das.
    Turut hadir bagi mendengar penyelesaian kes itu di mahkamah ialah hampir 50 Orang Asli yang memakai hiasan kepala diperbuat daripada mengkuang dan daun kelapa.
    Sagong yang kelihatan ceria ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, jumlah pampasan yang diterima itu adalah ‘‘lebih baik daripada tidak menerima langsung sebarang bayaran’’.
    Menurutnya, perkara itu telah berlarutan sejak 15 tahun lalu dan kudrat mereka juga semakin lemah seiring dengan peningkatan usia termasuk ada di antara mereka telah meninggal dunia.
    Ditanya apa yang ingin dilakukan dengan wang yang bakal diterima, secara berseloroh Sagong berkata: ‘‘Entahlah, belum tahu. Nak buat rumah ke, nak kahwin 10 ke, badan dah ke tepi (tak larat) kata orang.’’
    LLM, UEM dan kerajaan Persekutuan sebelum ini merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan pampasan diberikan kepada tujuh Orang Asli tersebut.
    Malah, Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram (kini bersara) menganggap kes terhadap Orang Asli tersebut yang dinafikan hak mereka oleh kerajaan negeri dalam proses pengambilan tanah, sebagai satu kes yang menyedihkan.
    Pada 12 April 2002, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa Sagong dan enam rakannya berhak dibayar pampasan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk tanah mereka yang diambil bagi tujuan pembinaan lebuh raya.
    Mahkamah tersebut turut membenarkan tuntutan mereka untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka adalah pemilik tanah itu melalui adat, hak milik Orang Asli dan pemegang hak-hak untuk menikmati kegunaan ke atas tanah itu.
    .

    No comments:

    Post a Comment

    My Blog List