Search This Blog

Monday, February 28, 2011

UM-01.03.2011 - Pengorbanan 'Budak Terengganu' berbaloi

link asal



DALAM NEGERI

Pengorbanan 'Budak Terengganu' berbaloi


DARI kiri: Mohd. Ridduan Ali Akmal, Mohd. Yazid Marlok dan Muhd. Nurhalfifi Che Husin di samping lukisan mural yang berjaya mendapat tempat pertama pada Pertandingan Lukisan Mural 1Malaysia di The Zon, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 28 Feb. - Perjalanan lebih enam jam dari Setiu, Terengganu ke negeri ini ternyata berbaloi kepada tiga sahabat baik apabila mereka dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Lukisan Mural 1Malaysia di The Zon di sini semalam.
Dengan kemenangan itu, peserta yang menggelarkan diri mereka sebagai Budak Terengganu Designer itu berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta baucer membeli-belah bernilai RM200, baucer RM150 sumbangan Starbucks serta sijil penyertaan.
Wakil pasukan, Mohd. Nurhalfifi Che Hussin, 23, berkata, kemenangan itu adalah sesuatu yang amat bermakna bagi mereka selepas mengharungi perjalanan agak lama dari Terengganu ke Johor Bahru dan kemenangan itu memang di luar jangkaan.
Meskipun pernah menyertai banyak pertandingan seumpama itu sebelum ini, dia memberitahu, kemenangan dikecapi bersama dua sahabatnya, Mohd. Ridduan Ali Akmal, 23, dan Mohd. Yazid Marlok, 20, adalah yang pertama bagi mereka.
"Kami datang dari Terengganu menaiki bas semata-mata untuk menyertai pertandingan ini dan ternyata penat lelah kami membuahkan hasil dan amat berbaloi," katanya semasa ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di sini.
Dengan menggunakan konsep alam semula jadi, Budak Terengganu Designer berjaya menewaskan 110 kumpulan lain.
Pertandingan Lukisan Mural 1Malaysia yang bermula seawal pukul 9 pagi hingga 5 petang itu turut mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila disenaraikan dalam buku The Malaysian Book Of Records sebagai lukisan mural terpanjang di Malaysia iaitu 655 meter.
Sementara itu, Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Abdul Ghazali Karim berkata, pertandingan itu bertujuan menyaksikan penghayatan konsep 1Malaysia melalui lukisan mural.
Beliau berkata, ia juga bagi memupuk bakat seni masyarakat tempatan yang bersesuaian dengan tema pertandingan iaitu Warna Alam Semula Jadi 1Malaysia.
"Kebanyakan peserta yang ditemui melahirkan rasa gembira dan berharap akan diterus pada masa akan datang kerana ia dapat melahirkan lebih ramai generasi muda kreatif," katanya.

No comments:

Post a Comment

My Blog List